AHAD (05.05.2024)
YAN – Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan yang terletak di Daerah Yan bersempadan dengan Daerah Kota Setar kini telah diubah namanya kepada satu nama baharu iaitu Pusat Mempelam Kedah.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata selama ini ramai orang yang lalu lalang di jalan Alor Setar – Sungai Petani ini dan saya yakin masih ramai orang di luar sana yang tidak tahu apa yang sebenarnya ada di dalam kawasan berpagar ini kerana adanya perkataan ‘Teknologi’ pada nama pusat ini, ramai orang menyangka bahawa ia adalah pusat penyelidikan semata-mata.
“Satu sebab kita ingin mengubah nama pusat ini adalah kerana kita melihat potensi yang ada di sini untuk dijadikan pusat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Justeru itu, kita ingin menjadikan pusat ini sebagai pusat pemasaran Harumanis D’Aman dan juga jenis-jenis mempelam lain yang ada di Kedah. Kita juga ingin menjadikan pusat ini sebagai pusat penyelidikan, informasi dan rujukan mengenai mempelam termasuk pembekalan benih dan khidmat nasihat.
“Pusat ini sebenarnya telah wujud di sini sejak tahun 1977. Pusat yang berkeluasan 4.8 hektar ini mempunyai 503 bilangan pokok dan di dalamnya terdapat 111 varieti mempelam yang dikumpul dari serata negara serta satu-satunya ladang mempelam di Malaysia malahan mungkin di dunia yang mempunyai begitu banyak koleksi varieti mempelam seumpama ini.
“Untuk makluman semua, pusat ini telah diiktiraf salah satu destinasi agropelancongan di Kedah sempena Tahun Melawat Kedah 2025. Dengan adanya pusat ini dalam kalendar pelancongan Kedah, kita yakin ianya dapat menarik minat penggemar mempelam dari dalam dan luar negeri juga para penyelidik untuk datang ke sini.
“Pusat kita juga menyediakan tarikan lain seperti Galeri Pameran dan lokasi “healing” dengan banyak tempat bergambar serta lokasi beriadah bersama keluarga. Untuk terus menjadi tempat rujukan dan tarikan pelancong, pihak Jabatan Pertanian dan Pejabat Daerah Yan perlu terus berkolaborasi mencari idea dan perancangan bagi menambah baik pusat ini sama ada dari aspek pertanian mahupun pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majllis Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan Dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Abd Ghani; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Mohd Azam Abd Samat; Pegawai Daerah Yan, Maznim Ismail dan Timbalan Pengarah Pertanian Pengembangan Negeri Kedah, Rozaidi Abdul Rahman.
Terdahulu Sanusi dalam ucapannya berkata terdapat 40 varieti mempelam dari Negeri Kedah, 39 varieti mempelam dari negeri-negeri lain di seluruh Malaysia dan 32 varieti mempelam dari luar negara. Antara varieti mempelam dari negeri Kedah adalah seperti Intan Syafinaz, Kuala Nerang, Sala, Laris, Haji Abdullah dan Hajah Rubiah.
“Tahun lalu, saya datang ke sini untuk melancarkan pemasaran mempelam harumanis kita di bawah jenama Harumanis D’Aman. Harumanis D’Aman saya difahamkan telah mendapat sambutan dan langganan yang sangat baik. Dengan tanah luas yang kita ada dan potensi untuk meluaskan lagi penanaman harumanis, saya yakin Harumanis D’Aman akan mendominasi pasaran dalam beberapa tahun akan datang.
“Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN) akan terus menyokong dan membantu dalam meningkatkan fungsi dan peranan pusat ini,” ujarnya.
– Petikan Warta Kedah –
– Kredit Warta Kedah –